Penjaga persoal murid SJKT tak dapat mohon sekolah asrama penuh
Slip keputusan murid SJKT Ladang Brounston, Jeram, Kuala Selangor yang mendapat 8A dalam UPSR.
Penjaga kepada seorang murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mempersoalkan dasar sekolah berasrama penuh (SBP) yang tidak menerima permohonan pelajar dari sekolah vernakular itu.
Beliau yang hanya ingin dikenali sebagai Revathy berkata walaupun murid itu mendapat keputusan 8A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, namun tidak diterima masuk ke SBP kerana beliau dari SJKT.
Revathy turut mempersoalkan mengapa SBP yang merupakan sekolah umum mempunyai syarat dan dasar sedemikian.
“Sebab dalam syarat itu, tidak ada menyebut tidak dibenarkan pelajar India atau Cina untuk mohon SBP, tetapi menyebut hanya menerima dari sekolah kebangsaan.
“Memang pelik kenapa hanya jenis sekolah kebangsaan. Jika mahu dibandingkan, SJKT dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mengambil lebih 2 subjek,” katanya kepada FMT.
Revathy juga berkata apabila kerajaan sudah bertukar, maka tidak adakah kelonggaran untuk murid dari SJKT yang mendapat 8A atau 7A untuk memohon SBP.
“Longgarkan sedikit syarat itu. Jika sekolah agama ada syarat untuk tidak membenarkan pelajar dari SJKT mohon, kami faham itu syaratnya. Tetapi kenapa SBP?” soalnya.
Sebelum itu, kisah Revathy tular di media sosial apabila murid yang bersekolah di SJK(T) Ladang Brounston, Jeram, Kuala Selangor mendapat 8A dalam keputusan UPSR, dan beliau berhasrat memasukkannya Sekolah Sains Kuala Selangor.
Bagaimanapun, ketika beliau mahu memohon untuk memasukkan pelajar itu ke sekolah sains, salah seorang pegawai sekolah tersebut berkata mereka tidak melepasi syarat yang ditetapkan.
Katanya, beliau turut diminta untuk berhubung dengan pegawai di Ibu Pejabat SBP di Cyberjaya untuk mengajukan apa-apa soalan sekiranya tidak berpuas hati.
“Apabila telefon ibu pejabat SBP itu, pegawai itu berkata syarat SBP memang begitu,” katanya.
Revathy juga berkata murid itu merupakan satu-satunya pelajar yang mendapat 8A tahun ini di sekolah tersebut dan datang dari keluarga yang agak sederhana.
Beliau mempersoalkan bagaimana ibu bapa yang tinggal berdekatan sekolah sains itu mahu memasukkan mereka ke sekolah tersebut.
“Saya nak hantar pelajar itu ke sekolah sains sebab sekolah itu paling dekat tetapi hanya sebab alasan pelajar bukan dari sekolah kebangsaan tidak diterima.
“Kadang-kadang ada ibu bapa yang fikir anak baru 12 tahun, dan pertama kali mahu masuk sekolah menengah, jadi setahu saya sekolah sains di bawah kerajaan juga,” katanya.
Permohonan SBP tertakluk kepada dasar
Sementara itu, Bahagian Pengurusan SBP dalam kenyataan balasnya kepada FMT berkata, buat masa ini pihaknya masih tertakluk kepada pematuhan dasar yang diluluskan.
Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Hal Ehwal Murid Bahagian Pengurusan SBP, Nor Azlina Abdul Rahim berkata sehingga kini tiada kelonggaran kepada dasar dan syarat seperti yang dimohon.
“Tahniah kepada murid ini yang berjaya mencapai 8A dalam peperiksaan UPSR ini. Namun pertimbangan kepada murid ini tidak dapat dilakukan kerana kegagalan mematuhi beberapa dasar dan syarat yang dinyatakan,” katanya.
Nor Azlina turut menyenaraikan syarat kemasukan pelajar ke SBP, antaranya pemohon mestilah warganegara Malaysia, mencapai tahap pencapaian minima kemasukan ke SBP seperti yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam UPSR, menduduki ujian online kemasukan ke SBP dan melepasi Toleransi Bar (65%), merit PAJSK dan Psikometrik serta pelajar itu dari sekolah kebangsaan.
Original article from https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/12/07/ibu-persoal-murid-sjkt-tak-dapat-mohon-sekolah-asrama-penuh/?fbclid=IwAR3TLvnrr8M-LDd1MojNmpoMvbGRN6s3uqSb8LL48enG5mr-7JveE2FCqrU