Usul turunkan potret Najib tewas dengan majoriti besar

Hanya enam daripada 71 pelajar yang mengundi bersetuju dengan usul tersebut, manakala 41 menolak dan 24 pula berkecuali.


Usul untuk menggesa Persatuan Pelajar Malaysia Universiti Nottingham, United Kingdom agar melobi mengeluarkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada dinding kampus universiti itu tewas dengan majoriti besar.

Usul tersebut dibentang dan dibahas dalam Mesyuarat Agung persatuan itu semalam.

Menurut maklumat yang dikongsi di media sosial, hanya enam daripada 71 pelajar yang mengundi bersetuju dengan usul tersebut, manakala 41 menolak dan 24 pula berkecuali.

Di sebalik keputusan itu, pelajar yang mencadangkan usul tersebut, Cassandra Chung berharap ia dapat mengubah tanggapan sesetengah pelajar dan persatuan tentang aktivisme.

“Walaupun usul ini tewas, saya harap insiden ini telah mencetuskan sesetengah individu dan persatuan untuk mengubah cara berfikir mereka.

“Barangkali insiden ini mampu menjadi satu langkah kecil dalam mengubah landskap aktivisme mahasiswa di kalangan pelajar Malaysia di United Kingdom dan Eire,” katanya di Facebook.

FMT kini sedang menghubungi Cassandra untuk mengesahkan keputusan itu.

Menurut kenyataan Persatuan Pelajar Malaysia Universiti Nottingham 12 Mac lalu, usul menggesa potret Najib adalah berikutan reputasi Najib yang merudum ekoran keengganan beliau menjawab dakwaan secara benar dan tersusun.

Original article from http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/03/17/usul-turunkan-potret-najib-tewas-dengan-majoriti-besar/